HARI KETIGA PULUH LIMA
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kedai kecil untuk membeli makanan ringan. Aku meminta diri kepada Anis dan Riko untuk pergi ke tandas sebentar. Tanpa berlengah, aku memasuki tandas, membasuh wajahku untuk menyegarkan diri. Setelah selesai, aku keluar sambil menutup pintu.
Namun, saat aku berbalik, tiba-tiba aku dikejutkan oleh kehadiran seseorang bertopeng.
"Hei! Kau ni, apa suka sangat ceroboh masuk tempat orang ke?" tanyaku, sedikit tergamam tetapi berusaha kelihatan tenang.
Sang bertopeng hanya tersenyum kecil di balik topengnya, sebelum membalas, "Oh, kau. Aku rasa tak perlu berteka-teki lagi. Apa yang kau buat di sini?"
Aku memandangnya dengan pandangan curiga. "Sepatutnya aku yang tanya kau soalan tu. Apa tujuan kau muncul kat sini?"
Dia mengangkat bahu dengan sikap selamba. "Tak ada apa-apa. Aku cuma fikir yang Anis tu mungkin ada hati dengan kau. Tapi nampaknya aku salah tafsir."
Keningku berkerut. "Apa maksud kau?"
Dia memalingkan tubuhnya, bersiap sedia untuk pergi, tetapi sempat menoleh sedikit ke arahku. "Besok, ada mesyuarat tentang cara menumpaskan Joker. Kau dijemput hadir."
Sebelum aku sempat membalas, dia melompat ke bangunan terdekat, bergerak lincah di antara bumbung seperti bayang-bayang yang sukar dijejak. Aku cuba menahannya.
"Hei, tunggu dulu! Kau tak boleh tinggalkan aku macam ni!"
Namun, dia sudah hilang di balik kegelapan malam. Aku mengeluh panjang. "Alaa… dia dah hilanglah."
Tiba-tiba, suara Anis dan Riko memecah lamunanku.
"Apa yang awak buat kat sini? Dan kenapa awak menjerit?" tanya Riko, jelas kelihatan risau.
Aku cepat-cepat menepis dengan senyuman hambar. "Tak ada apa-apa. Aku cuma… terserempak dengan… kucing liar. Itu je."
Riko mengangkat bahu, tidak mahu memperbesarkan hal. "Kalau macam tu, tak apa lah."
Kami meneruskan perjalanan pulang ke Akademi Putra, mengambil jalan yang biasa kami gunakan untuk memudahkan perjalanan. Malam itu, langit dihiasi bintang-bintang yang berkelipan terang, dan jalan sepi diterangi oleh lampu jalan yang hangat cahayanya. Aku melirik pada jam tangan. Waktu menunjukkan pukul 00:23 pagi. Hari ini sudah masuk hari ke-35 aku berada di sini, dan tinggal tiga hari sahaja sebelum hari penting itu tiba.
Langkahku perlahan, dan aku mula merasakan masa bergerak begitu pantas, seolah-olah tergesa-gesa meninggalkan aku. Namun, aku tahu, cabaran sebenar sedang menanti di hadapan.
Setelah sampai di pintu pagar, aku membuka pintu dan menyuruh mereka untuk masuk terlebih dahulu. Semasa aku cuba menutupnya, tiba-tiba seseorang menegurku, suaranya bergema dalam kegelapan, menyuruh aku pergi ke dalam hutan.
Anis dan Riko terus berjalan tanpa menyedari apa yang berlaku. Suara itu semakin kuat, sehingga akhirnya sosok itu muncul di hadapanku.
"Joker! Apa yang kamu inginkan?" tanyaku dengan tegas, menahan rasa takut yang menjalar di hati.
Dia tertawa kecil sebelum menjawab, "Tenanglah! Aku ada hadiah untuk kau."
Sebelum aku sempat bertanya lebih lanjut, dia menyemburkan sesuatu ke arahku. Kabus tebal itu menyelubungi wajahku, dan pandangan mulai kabur. Tubuhku terasa lemah, dan akhirnya aku terjatuh, kehilangan kesedaran.
Hari terasing ialah esok. Adakah kamu semua bersedia untuk menghadapinya?
Hati-hati, protokol ini sangat bahaya!
Adakah kau orang yang dicakapkan oleh Anis?
Siapa pahlawan yang terdahulu?
Zero, kenapa kau tidak datang lebih awal lagi, hah?
Tahniah dan selamat tinggal.
Saat itu, aku membuka mataku perlahan-lahan, perasaan bercampur-baur. Suara-suara dari setiap orang yang aku jumpa sejak pertama kali tiba di sini terngiang-ngiang di telingaku. Semua ini terasa seperti telah dirancang dengan rapi.
Aku menggenggam tangan dengan erat, menahan rasa marah kepada diriku sendiri. "Aku memang cuai… tetapi tidak lagi. Kali ini aku akan pastikan aku bersedia."
"Bangun! Hey!... Bangunlah!"
Aku membuka mata dengan perlahan, pandangan masih kabur, dan melihat seorang yang sedang mengejutkan aku.
"Oh, kau Aiman," kataku sambil mengangkat tubuhku perlahan. "Ada apa ni?"
Aiman menjawab dengan nada cemas, "Hari ni kelab muzik nak jumpa kau. Cepatlah!"
Tanpa menunggu jawapan, dia memegang tanganku dan mengheretku ke bilik air. Aku bersiap dengan cepat, lalu kami bergegas menuju ke kelab muzik bersama-sama. Setibanya di depan pintu kelab, aku membuka pintu perlahan. Cahaya terang menerpa wajahku, dan aku melangkah masuk dengan sedikit kekeliruan.
"Adakah kamu semua panggil aku?" tanyaku kepada mereka yang berada di dalam.
"Ya!" jawab mereka serentak dengan penuh semangat.
Namun, sebelum kami sempat memulakan apa-apa, suasana dikejutkan dengan kehadiran Max, yang melangkah masuk dengan tergesa-gesa.
"Maaf kerana mengganggu kalian semua," katanya dengan nada serius. "Tapi boleh saya berjumpa dengan Hazrul dan Amiliya?"
Aku dan Amiliya saling berpandangan sebelum meminta diri kepada ahli kelab muzik yang lain untuk keluar mengikuti Max.
"Ada apa?" tanyaku ingin tahu.
"Pihak atasan mahu berjumpa dengan kita semua," jawab Max dengan tegas sambil melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Kami hanya mampu menurut tanpa bertanya lebih lanjut, perasaan bercampur baur antara ingin tahu dan cemas menyelubungi hati.
Di bilik mesyuarat, semua orang sudah bersiap sedia untuk perbincangan. Max mengetuk pintu lalu masuk ke dalam. Yang lain melihat kami datang, dan kami mencari tempat duduk yang kosong.
Ketua SCI memandang kami semua dan berkata, "Baik, tujuan kami memanggil kamu semua adalah untuk memberitahu sesuatu berkaitan dengan situasi yang terjadi baru-baru ini. Kami telah berbincang dengan ibu pejabat BlackAlpha untuk menyediakan tempat khas bagi meletakkan NPV supaya ia selamat dari pengganas. Tapi..."
Ketua SCI menyambung, "Tapi untuk membina tempat itu memakan masa yang lama. Ia mungkin siap setelah hari terasing tiba."
If you discover this narrative on Amazon, be aware that it has been stolen. Please report the violation.
Ejen yang lain terkejut mendengar kenyataan itu.
Ros berkata, "Jadi, kita terpaksa menentang mereka juga?"
Max memberikan pendapatnya kepada pihak atasan. "Kenapa kita tidak meletakkan NPV jauh dari sini? Kerana di sini ada ramai pelajar dan orang awam. Mereka mungkin terbunuh jika hari terasing tiba."
Pihak atasan menjawab, "Tiada tempat yang lebih selamat dari Blok 7. Dan sekarang ini bilik kebal sedang dibina."
"Jadi... begitu," kata Max perlahan.
Ketua SCI melihat sekeliling tempat. "Ada soalan lagi?"
Kai, yang sedikit tertarik dengan mesyuarat ini, bersuara, "Ya, ada! Boleh tunjukkan kepada saya bagaimana taktik untuk kita melawan pengganas semasa hari terasing tiba?"
Ketua SCI menjawab, "Taktik kita cukup mudah. Kita musnahkan protokol yang memancarkan gelombang radiasi itu. Jika kita tahu di mana protokol itu berada, semakin mudah kerja kita."
Kai membalas kata-kata Ketua SCI. "Untuk mematikan protokol memerlukan perlengkapan yang cukup. Kalau gunakan bom, sudah tentu ia akan membuat protokol itu meledak dan menyebabkan orang ramai terbunuh."
Roger menyampuk, "Kalau macam tu, kita perlukan seseorang yang tahu cara mematikan protokol itu."
Ros berkata, "Zero pernah mematikan protokol itu. Kalau kita suruh dia macam mana?"
"Tak ada gunanya," balas Ketua SCI.
Yang lain terkejut.
"Kalau Zero berada di sini, markas besar yang berada di seluruh dunia akan hancur."
"Jadi kita perlukan bimbingan baru," kata salah seorang daripada mereka.
Roger berkata sambil melihat Kai, "Bukan ke kita ada seorang lagi pakar dalam bidang komputer? Apa kata kita suruh dia?"
"Aku fikir yang kau tak akan tanya," jawab Kai.
Kai berdiri sambil berkata, "Baiklah, aku akan matikan protokol itu. Tapi aku tidak tahu di mana ia berada dan apa akan terjadi sekiranya pengganas sudah tahu tentang strategi kita."
"Mungkin ia berada di sekitar hutan ni," jawab Ros.
Tak lama kemudian, pelbagai perancangan dibuat oleh SCI sebelum hari terasing tiba. Sebahagian ejen kerajaan mencari tempat persembunyian Joker, manakala sebahagian lagi mengawasi Blok 7. Perancangan mereka mula berubah. Pihak ketenteraan memakai topeng muka bagi mengelakkan dipukau. SCI menghantar mesej kepada pihak NASA untuk mencari koordinat protokol tersebut. Team Seven mempersiapkan alatan mereka secukupnya bagi pertempuran jarak dekat. Tindakan mereka dilakukan dengan cepat sekali.
Setelah mesyuarat tamat, aku duduk di tepi tangga sambil memikirkan perancangan yang dibincangkan. Tiba-tiba, Amiliya muncul di hadapanku.
“Macam mana mesyuarat tadi?” tanyanya.
Aku mendongak ke arahnya. “Oh, Amiliya. Kenapa awak datang jumpa saya?”
Dia tersenyum kecil sebelum menjawab, “Awak tahu, kan, ada pelajar baru di sekolah ni?”
“Ya, sudah tentu.”
“Ada sesuatu yang pelik tentang pelajar baru tu,.”
“Apa maksud awak?”
“Saya nak pergi siasat.”
“Kenapa?”
“Ada sebabnya!” katanya sambil memegang tanganku dan menarikku ke ruang pejabat pengetua.
Di sana, dia mula mencari maklumat tentang pelajar baru tersebut. Beberapa minit kemudian, dia berhenti dan berkata, “Nampaknya pelajar baru tu tak ada dalam rekod!”
Aku mengerutkan dahi, masih keliru dengan apa yang dicari oleh Amiliya. Sebelum sempat aku bertanya, kami dikejutkan oleh suara seseorang.
“Apa yang kamu berdua buat di sini?”
Kami berpaling dan melihat seorang pelajar perempuan berdiri di belakang kami. Dia kelihatan tenang tetapi matanya tajam memandang ke arah Amiliya.
“Hai, Amiliya. Aku memang sedang mencari kau,” katanya dengan nada akrab.
Aku mula berasa pelik. Siapa dia, dan kenapa dia kelihatan seperti mengenali Amiliya lebih lama daripadaku?
Kemudian, kami berbual di tepi koridor sekolah sambil memandang ke arah pembinaan di luar.
“Nama aku Elise, bekas ejen SCI. Dan kamu mesti Hazrul yang selalu disebut-sebut, kan?” katanya sambil memandangku.
“Ya, memang betul,” jawabku pendek.
Namun, Amiliya cepat menyampuk, “Sebenarnya, apa tujuan kau datang ke sekolah ini?”
Elise berjalan perlahan, memerhati sekeliling sebelum berkata, “Aku di sini untuk menghalang operasi organisasi Loflin. Aku tahu cara untuk mematikan protokol itu.”
Kata-katanya membuatkan aku dan Amiliya terkejut.
Elise meneruskan, “Aku juga nak beritahu sesuatu kepada kau, Amiliya. Ibu kau sebenarnya tidak mati dalam letupan itu. Dia masih hidup...”
Sebelum Elise sempat menghabiskan ayatnya, Amiliya memotong dengan nada tegas, “Ya, aku tahu! Ayah aku dah ceritakan segalanya. Ibu aku menghantar surat amaran sebelum ini. Dia kata pengganas akan menyerang sekolah ni bila hari terasing tiba. Dari tulisan dia, ayah aku yakin dia masih hidup.”
Elise terdiam sebentar mendengar penjelasan itu, lalu bertanya, “Kau tahu di mana dia sekarang?”
Amiliya menggeleng. “Tak.”
Elise menarik nafas panjang sebelum berkata, “Dia sedang bekerja dengan pihak NASA untuk mencari lokasi protokol itu. Sebelum dia pergi, dia kirimkan sesuatu untuk kau.”
Elise menghulurkan sebuah pita suara kepada Amiliya. “Dalam pita ini, ada pesan daripada dia. Pesan ini mungkin akan membongkar beberapa misteri penting.”
Amiliya mengambil pita tersebut dan menyimpannya di dalam poketnya dengan hati-hati. Elise kemudian meminta diri untuk pergi berbincang dengan pihak atasan SCI.
Amiliya melihat ke arah pita itu, sementara aku memandangnya dengan rasa ingin tahu.
“Jadi, apa yang kita nak buat sekarang?” tanyaku.
“Ke makmal komputer,” jawab Amiliya tanpa teragak-agak sebelum mula berjalan dengan langkah pantas.
Aku segera mengikutnya, bersedia untuk apa sahaja yang bakal kami hadapi.
Di pertengahan jalan, Kai tiba-tiba muncul dan menegur kami.
“Aku nampak kamu berdua bercakap dengan seseorang tadi. Siapa dia?” tanyanya dengan nada ingin tahu.
Aku menjawab, “Entahlah, aku tak pasti. Tapi dia berikan sesuatu kepada Amiliya—sebuah pita suara. Betul kan, Amiliya?”
Amiliya mengangguk sambil mengeluarkan pita tersebut dari poketnya dan menyerahkannya kepada Kai. “Ini pitanya.”
Kai mengambil pita itu dan memeriksanya dengan teliti. “Aku boleh bantu kamu berdua untuk pasang pita ni,” katanya yakin.
“Bagus!” balasku dengan penuh semangat.
Kai membawa kami ke satu tempat di mana dia memasang komputernya. Dengan cekap, dia mula memainkan pita suara tersebut.
Suara seorang wanita terdengar melalui pembesar suara.
“Amiliya, jika kamu dengar ini... ini suara daripada mak kamu. Mak masih hidup. Mak tahu kamu sedang mencari punca ‘kematian’ mak, kan? Sebab itulah kamu menubuhkan kelab misteri dan bekerja keras untuk mencari kebenaran. Tapi mak nak kamu tahu sesuatu: mak tak mahu kamu masuk campur dalam urusan SCI. Ia terlalu berbahaya untuk kamu. Kamu hampir mati sebelum ini, dan cukuplah dengan semua berita ngeri itu. Mak tak mahu melihat anak mak terseksa lagi.”
Suara dalam rakaman itu kedengaran emosi dan penuh dengan amaran. Namun, beberapa saat selepas itu, pita suara tersebut mula mencurigakan. Bunyi statik menyusup masuk, tetapi sebelum rakaman tamat, satu kenyataan yang mengejutkan keluar daripada suara wanita itu:
“Ibu telah menemukan rahsia yang tersembunyi di Akademi Putra. Rahsia yang mampu menjelaskan segala misteri. Tapi ingat, Amiliya, jangan pernah dekati protokol itu. Jika tidak, semuanya akan musnah...”
Rakaman tersebut berhenti, meninggalkan kami bertiga terdiam dalam keterkejutan.
Kai memandang ke arah Amiliya. “Rahsia ini... ia lebih besar daripada apa yang kita jangka.”
Amiliya kelihatan terkesima, cuba memproses apa yang baru sahaja didengarnya. Aku pula merasakan satu perasaan tidak sedap di hati.
“Mimpi ngeri aku selama ini,” aku berkata perlahan, lebih kepada diri sendiri, “mungkin sebenarnya adalah peringatan. Hari terasing... ia bukan sekadar cerita.”
Amiliya menyimpan rakaman tersebut dengan hati-hati dan berjanji akan memberitahu pengetua mengenainya. Aku dan Kai, sementara itu, memutuskan untuk berehat di taman sekolah. Kami duduk di atas kerusi kayu di bawah teduhan pokok, diiringi angin lembut yang menenangkan suasana.
“Jadi, Kai!” Aku memulakan perbualan. “Rasanya kau boleh tak matikan protokol itu?”
Kai bersandar pada kerusi, kedua-dua tangannya diletakkan di belakang. Wajahnya kelihatan serius namun sedikit ragu.
“Aku... nanti aku akan cuba,” jawabnya perlahan. “Tapi aku masih belum tahu bentuk sebenar protokol itu. Besar atau kecil pun aku tak pasti. Aku perlukan seseorang untuk ajar aku.”
Tiba-tiba, satu suara dari belakang mengejutkan kami.
“Kalau macam itu, biar aku yang ajar kau!”
Kami menoleh serentak dan mendapati Elise berdiri di belakang kami dengan senyuman yakin di wajahnya.
Kai memandang Elise dengan sedikit teruja. “Oh, kau! Kau tentu bekas ejen SCI, kan? Aku pernah dengar tentang kau. Kau pernah jalani misi protokol Nuklear bersama Zero, betul tak?”
Elise mengangguk. “Ya, memang aku. Orang yang kau maksudkan itu adalah aku.”
Beberapa waktu kemudian, kami bertiga mula berbincang tentang cara untuk mematikan protokol tersebut. Elise mengambil peranan sebagai mentor untuk Kai, menjelaskan dengan teliti setiap langkah yang diperlukan.
Dia mengeluarkan projektor mudah alih yang mengandungi data daripada pihak atasan SCI dan menunjukkan struktur protokol kepada Kai. Melalui visual tersebut, Elise menjelaskan satu persatu bahagian penting, termasuk cara mengenali wayar-wayar tertentu, prosedur mematikan protokol, serta langkah berjaga-jaga sekiranya protokol itu mula tidak stabil.
Kai mendengar dengan penuh perhatian, sesekali bertanya soalan untuk memastikan dia benar-benar faham. Hubungan antara mereka nampaknya semakin akrab, dengan Elise menunjukkan kesungguhan untuk melatih Kai.
Aku pula hanya duduk di sisi, memerhatikan mereka berdua sambil menikmati pemandangan taman. Pohon-pohon yang bergoyang lembut dan cahaya matahari yang menembusi celah-celah dedaunan mencipta suasana yang damai, sedikit mengalihkan fikiranku daripada kerumitan situasi kami.
Namun, jauh di lubuk hati, aku tahu ini hanya permulaan. Masih banyak yang perlu dilakukan sebelum kami benar-benar dapat menghentikan ancaman protokol itu.
Koordinat protokol tersebut telah di kesan oleh pihak NASA. Ia berada di dalam hutan tak jauh dari Akademi Putra. Pihak atasan SCI cuba memikirkan cara untuk masuk ke dalam sana, secara senyap. Setelah membuat keputusan pihak atasan akan menghantar Max, Roger, Ros, Kai dan aku untuk ke sana demi memastikan sama ada koordinat itu betul atau pun tidak.
Tinggal 3 Hari Lagi.